senyum selalu

Friday, February 27, 2009

ERTI CINTA

Posted by sakura ilz at 3:31 AM
Zaman muda adalah zaman yang amat istimewa bagi kita. Nikmat kemudaan seharusnya disyukuri dengan cara yang betul. Inilah zaman yang amat mencabar yang akan dipertanggung-jawabkan oleh Allah. Nabi telah bersabda: "Tidak akan berganjak seseorang hamba di hari Kiamat melainkan sesudah ditanya kepadanya tentang 4 perkara:

Tentang umurnya, dimana dihabiskannya, tentang mudanya, apa yang telah dilakukan dengannya, tentang hartanya, dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakannya.Dan tentang ilmunya, apa yang telah dilakukan dengannya." (Hadis Tarmuzi)

Orang muda mudah dilamun cinta. Kasih dan cinta pula adalah perasaan yang fitrah bagi manusia. Allah menceritakan tentang perasaan fitrah ini di dalam Al-Quran dengan firmanNya:
"Dihiaskan bagi manusia kecintaan kepada perkara-perkara yang diingini nafsu berbentuk perempuan-perempuan, anak pinak, harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, binatang-binatang ternakan dan kebun tanaman. Itulah kesenangan hidup di dunia sedangkan di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya." (Ali-Imran 3:14)

Dalam banyak cinta, cinta kepada Allah itulah yang lebih utama. Cinta Ilahi inilah yang sepatutnya menjadi suluhan kepada cinta-cinta yang lain, apatah lagi cinta di antara lelaki dan perempuan. Terlampau cintakan yang lain daripada Allah, boleh menyemaikan benih-benih syirik di hati.

"Ada di antara manusia yang telah mengambil SEKUTU-SEKUTU SELAIN DARIPADA ALLAH YANG MEREKA CINTAI sebanding kecintaan mereka kepada Allah. Adapun orang yang benar-benar beriman, amat memuncak kecintaan mereka kepada Allah." (Al-Baqarah 2:165)

Ayat ini menceritakan tentang kecintaan / kasih / pemujaan kepada makhluk sehingga kita sanggup menuruti dan mematuhinya dalam melakukan maksiat. Dalam erti kata yang lain, kita utamakan kehendak makhluk daripada kehendak Allah. Ketika itu kita telah syirik kepadaNya. Cinta yang membawa kepada kepatuhan yang membuta tuli amat membinasakan.

Di dalam Al-Hilyah, disebutkan tentang Ummu Sulaim yang pernah dilamar oleh Abu Talhah, sebelum beliau (Abu Talhah) menganuti Islam. Abu Talhah ketika itu cukup kacak dan kaya raya. Jawapan Ummu Sulaim jelas melambangkan keperibadiannya yang tinggi:
"saya cintakanmu. Orang yang sepertimu tidak akan ditolak. Tetapi kamu seorang kafir dan saya tidak boleh berkahwin dengan seorang yang kafir."

Inilah ungkapan hasil daripada suluhan iman dan takwa. Cinta tidak akan menyebabkannya menggadaikan maruah dan harga diri.


Jadi, berhati-hatilah dalam bercinta, jangan sampai tergadai maruah dan harga diri kerananya. Cinta terhadap manusia boleh dikawal jika kita hendak mengawalnya. Landasan yang hendak saya cadangkan untuk pegangan mereka yang sedang bercinta ialah: 'berpesan pesanan di atas kebenaran dan berpesan-pesanan di atas kesabaran.'

Sebenarnya cinta yang paling bermakna ialah cinta selepas berkahwin,bukan sebelumnya! Utamakanlah cinta kepada Allah dengan banyak beribadah, dan juga kecintaan kepada ilmu dengan mengejarnya.Itulah yang lebih mendamaikan dan membahagiakan.

Insan yang tahu menghargai anugerah Allah akan dihargai dan dihormati sepanjang masa.

Moga-moga Allah mencurahkan kasih sayangNya kepada kita semua.
Wassalam.

0 comments:

 

INI VILLA SAYA Copyright © 2009 Baby Shop is Designed by Ipietoon Sponsored by Emocutez